
SARATOK: Tindakan licik seorang penganggur yang mencuri sebuah motosikal dengan cara memotong dan menyambung wayar soket utama akhirnya memakan diri apabila dia berjaya ditahan pihak polis dalam satu serbuan di Kampung Sungai Endot, Kabong, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie mengesahkan bahawa tangkapan terhadap suspek lelaki berusia 27 tahun itu dilakukan oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Saratok hasil daripada laporan yang diterima pada 4 Mei lalu.
Katanya, kejadian kecurian tersebut dilaporkan berlaku di Kampung Nyabor, Kabong, melibatkan sebuah motosikal jenis Honda C100 milik seorang pemandu lori berusia 31 tahun yang menyedari kenderaannya hilang di parkir tepi rumah.
“Siasatan awal mendedahkan bahawa suspek melakukan jenayah tersebut pada 2 Mei dengan cara menyeluk tangan di bawah tempat kunci untuk mencabut soket utama sebelum memotong dan mencantumkan wayar hitam dan merah bagi menghidupkan enjin.,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


DSP Mathew menambah, selepas berjaya melarikan motosikal berkenaan, suspek menyembunyikannya di dalam semak di belakang sebuah rumah burung di Kampung Sungai Endot untuk dileraikan bagi tujuan penjualan komponen.
Hasil serbuan di lokasi tangkapan, pihak polis berjaya menemukan rangka motosikal, enjin, ekzos, serta beberapa peralatan mekanikal seperti spanar dan pemutar skru yang dipercayai digunakan untuk meleraikan kenderaan tersebut.
“Suspek mengaku berniat menjual komponen motosikal itu bagi mendapatkan wang untuk membeli bekalan dadah, malah hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” ujarnya.
Semakan rekod lampau mendapati suspek merupakan pesalah tegar yang mempunyai dua rekod jenayah di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan pada 2019 dan 2024.
DSP Mathew berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor, dan dengan tertangkapnya suspek tersebut, pihak polis menganggap kes ini telah berjaya diselesaikan sepenuhnya.
Oleh Adi Safarman