
SIBU: Seramai lebih 1,000 peserta menyertai program Brisk Walk 2.0 anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu dengan kerjasama Skuad Antidadah Sibu di Dataran Terendak, Taman Tasik Permai, hari ini.
Acara berjalan santai sejauh dua kilometer itu bermula seawal 6.30 pagi dan dilepaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Skuad Antidadah Sibu, Raden Khairulzaman Raden Bustari bersama Kaunselor Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Michelle Law.
Program berkenaan diadakan selaras dengan tema “Langkah Sihat, Komuniti Bebas Dadah” bertujuan memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, program tersebut turut menjadi platform meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pencegahan awal terhadap penyalahgunaan dadah.
Antara pengisian menarik yang diadakan ialah pendaftaran ahli baharu Skuad Antidadah Sibu, program AADK Santuni Komuniti (ASK), pameran antidadah serta cabutan bertuah.
Program itu turut mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat pelbagai lapisan umur yang hadir bagi menyokong usaha membanteras penyalahgunaan dadah menerusi pendekatan komuniti dan gaya hidup sihat.
Oleh Akun Giman