
JAKARTA: Tiada rakyat Malaysia dilapor terlibat atau terkesan dalam insiden letusan Gunung Dukono di timur Indonesia, hari ini, menurut Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
Kedutaan itu berkata, pihaknya memantau rapat perkembangan insiden berkenaan yang berlaku pada 7.41 pagi waktu tempatan dan setakat 3.00 petang, tiada laporan daripada pihak berkuasa Indonesia berhubung warganegara Malaysia yang terkesan.
“Warganegara Malaysia yang terkesan dan berada di lokasi berhampiran boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian +6281380813036,” menurut kedutaan itu dalam satu kenyataan di laman media sosialnya.
Menurut Agensi Berita Jerman (dpa), insiden itu meragut tiga nyawa termasuk dua warga Singapura.
Sehingga 4.00 petang, Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia (BNPB) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa 14 pendaki ditemukan selamat.
Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana BNPB Abdul Muhari berkata mereka yang ditemukan selamat itu termasuk tujuh warga Singapura terdiri daripada dua lelaki dan lima wanita, serta tujuh warga Indonesia terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita.
Gunung Dukono, yang terletak di bahagian utara pulau Halmahera di wilayah Maluku Utara, merupakan antara gunung berapi paling aktif di Indonesia dan kerap mengalami letusan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. – Bernama