
KUALA LUMPUR: Disneyland Hong Kong akan mengadakan sesi uji bakat terbuka di sini pada 20 dan 21 Jun ini bagi mempelawa bakat seni persembahan Malaysia untuk menyertai barisan pelakonnya sebagai penari dan pelakon watak.
Menerusi kenyataan hari ini, taman tema berkenaan memaklumkan selepas dikenali kerana menemui penghibur berbakat luar biasa di seluruh Asia termasuk Hong Kong, Jepun, Taiwan, Filipina, Korea dan Thailand, kini perhatian beralih kepada Malaysia.
“Jelajah uji bakat khas ini meraikan komuniti seni yang dinamik di negara ini serta bakat luar biasa dalam kalangan penari dan penghibur.
“Calon yang berjaya akan berpeluang untuk menghidupkan cerita, watak dan detik penuh keajaiban Disney buat pengunjung dari seluruh dunia,” menurut kenyataan itu.


Uji bakat berkenaan akan diadakan di Akademi Balet Asia, Menara KLGCC, Bukit Kiara, di sini dan akan dimulakan dengan bengkel kendalian Pengarah Pemilihan Pelakon Disneyland Hong Kong.
Bengkel itu akan memberikan pendedahan mengenai standard persembahan Disney, penceritaan melalui pergerakan, serta cara penghibur boleh memberikan persembahan terbaik mereka, disusuli dengan uji bakat langsung yang diadakan secara berasingan untuk penari dan pelakon watak.
Pasukan pemilihan sedang mencari penari yang mempunyai asas teknikal yang kukuh, khususnya dalam tarian jaz dan balet serta berkebolehan untuk persembahan pentas berskala besar, perarakan, sambutan bermusim dan acara khas.
“Kami juga sedang mencari pelakon watak, dengan uji bakat yang bertujuan mengenal pasti individu berbakat yang mampu menghidupkan kisah Disney dan Pixar melalui pengalaman Pixar baharu, perarakan, acara bertema serta sesi bertemu watak yang mencipta kenangan indah untuk pengunjung dari semua peringkat umur,” menurut kenyataan itu.
Inisiatif berkenaan turut mencerminkan usaha berterusan Disneyland Hong Kong dalam mencari bakat di seluruh Asia termasuk Malaysia.
Maklumat lanjut mengenai syarat uji bakat dan pendaftaran boleh didapati menerusi DisneyAuditions.com. – Bernama