
SIMANGGANG: Seni mempertahankan diri Tang Soo Do terus dilihat sebagai platform penting dalam membentuk generasi belia yang berdisiplin, berkeyakinan serta memiliki sahsiah diri yang seimbang di negara ini.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata, seni mempertahankan diri tersebut bukan sahaja memberi fokus kepada aspek fizikal, malah turut membina kekuatan mental dan emosi dalam kalangan pengamalnya.
Doris berkata Tang Soo Do merupakan seni mempertahankan diri dari Korea yang diasaskan oleh Grandmaster Hwang Kee pada tahun 1945.
“Ia bukan sekadar mempertahankan diri, tetapi membentuk kekuatan fizikal, ketahanan mental serta sahsiah diri yang seimbang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Kejohanan Tang Soo Do antara Bahagian 2026 anjuran Kelab Tang Soo Do Engkili dengan sokongan Persatuan Tang Soo Do Sri Aman, di Stadium Mini Sri Aman dekat sini semalam.


Menurut Doris, seni ini diperkenalkan di Malaysia sekitar awal 1970-an sebelum berkembang ke Sarawak pada akhir 1970-an hingga awal 1980-an, dan kini terus menjadi platform membina disiplin, keyakinan diri serta perpaduan dalam kalangan belia.
Tambah beliau, Tang Soo Do juga menggalakkan gaya hidup sihat melalui peningkatan kekuatan, fleksibiliti dan daya tahan, di samping membantu membina keseimbangan emosi serta menjauhi pengaruh negatif.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Jack Kua dan Rosaline Neging, barisan Ketua Masyarakat Sri Aman diketuai Temenggong Kuek Aik Seng serta para kaunselor dan Ketua Kaum sekitar Bahagian Sri Aman.
Oleh Adi Safarman