KUCHING, 24 Oktober: Deklarasi Kuching yang diketengahkan pada Perhimpunan Agung dan Simposium Saintifik ICOMOS ke-22 Tahun 2026 (GA2026) menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa, penglibatan komuniti dan perkongsian ilmu dalam memelihara warisan daripada ancaman bencana, konflik dan perubahan iklim.
Presiden Majlis Antarabangsa bagi Monumen dan Tapak (ICOMOS) Malaysia, Faisal Abdul Rahman berkata, deklarasi itu mengiktiraf warisan sebagai hubungan hidup antara manusia, tempat, alam semula jadi dan generasi yang kini berdepan pelbagai ancaman, termasuk bencana, konflik dan perubahan iklim.
Beliau berkata, deklarasi berkenaan turut menekankan keperluan tindakan praktikal serta kesiapsiagaan yang lebih kukuh bagi memastikan warisan terus dipelihara dalam menghadapi perubahan.
“Komitmen itu kini akan dibawa pulang oleh rakan-rakan kami untuk diteruskan melalui usaha masing-masing di seluruh dunia,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam Gala GA2026 salah sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Menurutnya, penerimaan lima teks doktrin bersama Deklarasi Kuching menjadi antara hasil penting perhimpunan itu, sekali gus memberikan sumbangan kepada perkembangan usaha pemeliharaan warisan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, penganjuran GA2026 turut menghubungkan komuniti warisan antarabangsa dengan masyarakat tempatan menerusi pelbagai program awam, termasuk Ekspo Warisan, lawatan warisan dan program ‘Malam di Muzium’ anjuran Jabatan Muzium Sarawak.
Program UNESCO@80 pula mengangkat peranan pendidikan, sains dan budaya dalam membina keamanan, selain membuka ruang perbincangan mengenai cara warisan dapat membantu membentuk masa depan yang lebih aman untuk generasi akan datang.
Inisiatif ‘Old Kuching Smart Heritage’ (OKSHE), termasuk Suara Warisan Kuching Lama, turut memberi peluang kepada peserta dan golongan muda mengenali Kuching menerusi pengalaman serta kisah masyarakat setempat.
Dalam aspek kelestarian alam sekitar, lembaga ICOMOS yang baharu dipilih memulakan usaha mengimbangi jejak karbon perhimpunan menerusi penanaman pokok spesies tempatan.
Beliau berkata, dengan sokongan Jabatan Hutan Sarawak, sebuah Hutan ICOMOS akan diwujudkan di Penyelidikan Hutan Sabal sebagai sebahagian daripada usaha berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak, khususnya Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta Acara Perniagaan Sarawak, bersama agensi kerajaan, rakan kerjasama, sukarelawan dan semua pihak yang menjayakan perhimpunan GA2026.
Perhimpunan yang berlansung selama lapan hari itu menghimpunkan kira-kira 1,800 perwakilan dari 110 negara bagi membincangkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya di peringkat antarabangsa.
Turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bersama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan
Oleh Afiq Sallehi





