
SPAOH: Kehadiran seekor ular sawa batik gergasi sepanjang kira-kira 20 kaki mencetuskan detik cemas buat sebuah keluarga di Kampung Hilir Bungin semalam.
Kejadian tersebut disedari oleh seorang penduduk, Halimah Demong, yang melihat kelibat reptilia berkenaan berada di kawasan tepi rumahnya sebelum bertindak menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Spaoh untuk bantuan segera.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor Ini mengesahkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 9.15 malam.
Susulan laporan tersebut, seramai empat anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) daripada APM Daerah Spaoh yang diketuai oleh Sarjan Hasla Deli telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menangkap reptilia berkenaan.
Pasukan penyelamat yang menunggang motosikal tiba di lokasi pada 9.34 malam dan mendapati subjek masih berada di kawasan yang dinyatakan oleh pengadu.
Dengan menggunakan peralatan khas termasuk penjerut dan penyepit ular, anggota Skuad Bravo berjaya mengawal serta menangkap ular sawa tersebut dalam tempoh hanya tiga minit.

Kecekapan anggota bertugas memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku kepada penduduk setempat mahupun anggota operasi.
Setelah keadaan dipastikan selamat, ular sawa batik tersebut dibawa balik ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menggunakan sangkar haiwan untuk tindakan lanjut.
Operasi tamat sepenuhnya pada 9.56 malam selepas pasukan keselamatan memastikan kawasan persekitaran rumah pengadu benar-benar bebas daripada ancaman haiwan berbisa atau reptilia lain.
Oleh Adi Safarman