
KUCHING: Sebanyak 34 pasukan daripada cawangan Saberkas seluruh negeri berhimpun menyertai Kejohanan Futsal Piala Presiden Saberkas 2026 yang julung kali dianjurkan di peringkat negeri di Arena Sukan Simpang Tiga, di sini, hari ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan yang juga Presiden Saberkas, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran kejohanan tersebut merupakan kesinambungan kepada Karnival Sukan Saberkas (KASUS) yang dilaksanakan sejak 2019 dan mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan belia.
Menurut beliau, kejohanan itu bukan sahaja bertujuan menyemarakkan semangat kesukanan, malah menjadi platform memperkukuh kepimpinan serta mengeratkan hubungan persahabatan dalam kalangan ahli Saberkas.

“Selain itu, kejohanan ini turut menjadi medan mencungkil bakat baharu dalam kalangan belia Saberkas untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi seperti Suksar dan Sukma,” katanya ketika berucap merasmikan kejohanan tersebut.
Bagi kejohanan itu, johan bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 berserta pingat, naib johan RM5,000 berserta pingat, tempat ketiga RM3,000 berserta pingat manakala empat pasukan yang mara ke suku akhir menerima RM1,000 setiap satu berserta pingat.
Tambahnya, pelbagai hadiah menarik turut disediakan termasuk anugerah khas seperti Pemain Terbaik, Penjaring Terbanyak dan Penjaga Gol Terbaik.

Dalam pada itu, beliau berharap semua pemain dan pengurusan pasukan dapat mempamerkan semangat kesukanan tinggi serta menjunjung nilai persahabatan sepanjang kejohanan berlangsung.
“Kejohanan ini diharap dapat terus memperkukuhkan peranan Saberkas sebagai wadah penyatuan belia dan masyarakat secara keseluruhannya,” ujarnya.
Oleh Norman B