
SIMANGGANG: Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie menyeru agar sokongan rakyat terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus diperkukuhkan demi memastikan kestabilan politik serta kesejahteraan berterusan di negeri ini.
Beliau menegaskan bahawa komitmen kerajaan Sarawak yang berteraskan pendekatan “Utamakan Sarawak” telah terbukti memberi keutamaan kepada keperluan rakyat di pelbagai peringkat.
Menurutnya, perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan latar belakang perlu terus dipupuk agar keharmonian yang dinikmati hari ini dapat dikekalkan untuk generasi akan datang.
Doris berkata, kesatuan rakyat Sarawak merupakan asas kekuatan utama dalam mempertahankan hak-hak negeri serta memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif.

“Kesatuan kita sebagai anak Sarawak amat penting kerana ia merupakan asas kekuatan kita bukan sahaja dalam mempertahankan hak-hak Sarawak yang perlu dipelihara, tetapi juga dalam memastikan kestabilan dan kemajuan Sarawak terus terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Santai: Prihatin Menyantuni Rakyat yang berlangsung di Rumah Panggai, Melugu Dau, dekat sini semalam.
Tambah beliau, program seumpama itu memperlihatkan usaha berterusan pemimpin dalam mendekati rakyat selain mengukuhkan hubungan antara wakil rakyat dan komuniti setempat.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman, Kaunselor Anthony Abel, Temenggong Leonard Libau, Penghulu Rejie serta 43 orang tuai rumah dari kawasan sekitar.
Oleh Adi Safarman