
KUALA LUMPUR: Syarikat minyak dan gas nasional Malaysia, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah menandatangani perjanjian muktamad dengan syarikat minyak dan gas yang berpangkalan di Jepun, ENEOS Xplora.
Perjanjian tersebut membuka jalan bagi kemasukan semula ENEOS ke dalam Malaysia LNG Tiga Sdn Bhd (MLNG Tiga) yang mengendalikan terminal pencairan LNG MLNG Tiga di Sarawak.
Tertakluk kepada syarat-syarat penyelesaian tertentu, ENEOS akan memegang 10 peratus kepentingan ekuiti dalam MLNG Tiga bagi tempoh 10 tahun akan datang, pengaturan ini dilakukan selepas perjanjian usaha sama terdahulu bagi MLNG Tiga tamat pada tahun 2023.
“Perjanjian ini mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh keselamatan tenaga jangka panjang dan menyokong bekalan gas asli cecair (LNG) yang boleh dipercayai ke pasaran antarabangsa, terutamanya Jepun, dalam persekitaran landskap tenaga global yang semakin kompleks dan tidak menentu,” menurut Petronas dalam satu kenyataan sempena majlis menandatangani perjanjian secara dalam talian hari ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata perjanjian tersebut mewakili keyakinan jangka panjang kedua-dua syarikat yang terus memenuhi kepentingan tenaga kedua-dua negara sehingga beberapa dekad akan datang.
LNG terus memainkan peranan sangat penting dalam campuran tenaga global, merapatkan permintaan ekonomi masa ketika ini dan menyokong peralihan boleh dipercayai ke arah masa hadapan rendah karbon.
“Dengan Asia sebagai pusat pertumbuhan permintaan LNG global, bekalan stabil dan perkongsian jangka panjang kekal menjadi asas kepada daya tahan ekonomi di seluruh rantau ini,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Presiden Eksekutif dan CEO Perniagaan Gas dan Maritim Petronas, Datuk Adif Zulkifli pula berkata kemasukan semula ENEOS menekankan keyakinan berterusan terhadap daya tahan operasi dan cadangan nilai jangka panjang MLNG Tiga.
Kemasukan semula ENEOS ke dalam MLNG Tiga mencerminkan keyakinan bersama terhadap daya tahan aset tersebut dan peranan jangka panjangnya dalam landskap LNG Asia.
Ia memperkukuh tumpuan Petronas dalam membina sistem LNG boleh dipercayai yang terus memberikan nilai kepada pelanggan dan rakan kongsi, terutamanya di pasaran penting seperti Jepun, katanya.
Pengarah Perwakilan dan Presiden ENEOS, Yasuhiko Oshida berkata MLNG Tiga telah menjadi projek yang membekalkan LNG secara konsisten kepada pembeli Jepun sejak memulakan operasi pada 2003.
“Selain memperkukuh lagi perkongsian kami dengan Petronas, kami juga akan bekerjasama rapat dengan rakan pemegang saham yang lain iaitu kerajaan negeri Sarawak dan Mitsubishi Corporation untuk meneruskan penciptaan nilai baharu ketika peralihan tenaga, katanya. – Bernama