KUALA LUMPUR, 17 Oktober: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menggesa para majikan untuk mengambil langkah proaktif bagi melindungi keselamatan, kesihatan, dan kebajikan pekerja memandangkan keadaan jerebu semakin buruk.
Ia termasuk menyesuaikan aturan kerja selaras dengan kualiti udara semasa serta keperluan keselamatan pekerjaan.
Penasihat Kanan MEF bagi Hal Ehwal Kerajaan, Media, dan Hubungan Antarabangsa, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata majikan mempunyai kewajipan berkanun di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA) untuk memastikan, keselamatan, kesihatan, dan kebajikan pekerja di tempat kerja.
“Keadaan jerebu yang semakin teruk merupakan peringatan bahawa keselamatan dan kesihatan pekerja mesti kekal sebagai keutamaan bagi setiap majikan. Pendedahan kepada udara tercemar boleh menjejaskan kesejahteraan pekerja, terutamanya mereka terlibat dalam aktiviti luar serta pekerja yang mempunyai masalah pernafasan atau kardiovaskular sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syed Hussain menggesa majikan supaya tidak menunggu sehingga kualiti udara merosot dengan ketara sebelum mengambil tindakan.
“Dengan memantau Indeks Pencemar Udara (IPU), mengenal pasti pekerja yang mungkin lebih terdedah kepada risiko, serta melaksanakan langkah pencegahan yang sewajarnya, majikan dapat mengurangkan risiko pendedahan dan melindungi tenaga kerja mereka,” katanya.
MEF juga menyeru majikan untuk memastikan sistem penyaman udara dan pengudaraan diselenggara dengan baik, termasuk menyervis sistem penapisan udara yang sesuai bagi meminimumkan kemasukan udara luar yang tercemar serta mengekalkan kualiti udara dalaman yang memadai.
Sekiranya pendedahan tidak dapat dielakkan sepenuhnya, majikan harus menyediakan perlindungan pernafasan yang sesuai, seperti alat pernafasan N95 yang diperakui, berdasarkan tahap risiko dan jenis pekerjaan dilakukan.
MEF memaklumkan bahawa majikan wajar mempertimbangkan penugasan sementara ke tugasan dalaman atau pelarasan kerja lain yang munasabah bagi pekerja yang lebih rentan terhadap kesan jerebu, termasuk pekerja berusia, pekerja wanita hamil, serta mereka yang mempunyai masalah pernafasan atau kardiovaskular.
Aturan kerja fleksibel dan kerja jarak jauh (bekerja dari rumah) secara sementara juga boleh dipertimbangkan, sekiranya sesuai dengan sifat pekerjaan tersebut bagi mengurangkan pendedahan pekerja.
Syed Hussain menegaskan bahawa usaha melindungi pekerja dan mengekalkan kelangsungan perniagaan tidak seharusnya dilihat sebagai matlamat yang bercanggah, intervensi awal, pelarasan kerja yang wajar, serta komunikasi jelas dapat membantu perniagaan mengurus risiko kesihatan serta meminimumkan gangguan yang tidak perlu.
“MEF menyedari bahawa majikan beroperasi dalam persekitaran yang berbeza, dan risiko dihadapi oleh pekerja pejabat mungkin jauh berbeza berbanding risiko yang dihadapi oleh pekerja pembinaan, anggota keselamatan, atau pekerja yang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di luar,” katanya.
Dalam pada itu, para pekerja harus mematuhi arahan keselamatan di tempat kerja, menggunakan peralatan perlindungan yang disediakan, memastikan tubuh mendapat hidrasi yang mencukupi, serta segera memaklumkan kepada penyelia sekiranya mereka mengalami kesukaran bernafas, ketidakselesaan pada bahagian dada, atau gejala lain yang membimbangkan.
Syed Hussain berkata keputusan untuk meneruskan, mengubah suai, atau menangguhkan kerja harus disokong oleh penilaian risiko yang sewajarnya serta langkah-langkah pencegahan diperlukan.
“Akhir sekali, tenaga kerja yang selamat dan sihat adalah penting bagi kelestarian operasi perniagaan.
“Keutamaannya adalah untuk mengurangkan pendedahan yang boleh dicegah, melindungi kesejahteraan pekerja, dan memastikan kerja disambung semula atau diteruskan hanya apabila risiko-risiko diuruskan dengan secukupnya,” katanya.- Bernama



