Pasaran getah dijangka meningkat minggu depan berikutan penambahan semula stok

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR, 17 Oktober: Pasaran getah Kuala Lumpur dijangka mencatatkan aliran peningkatan minggu depan, disokong oleh aktiviti penambahan semula stok menjelang musim monsun pada November, Disember dan Januari.

Pakar industri Denis Low berkata pemain pasaran mungkin meningkatkan stok simpanan mereka menjelang musim tengkujuh sekali gus memberikan sokongan kepada permintaan dan harga.

“Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan kawasan utara Thailand akan memasuki musim dingin pada minggu ketiga Oktober.

“Bagi Malaysia pula, Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat, angin kencang dan kilat di beberapa kawasan di negara ini,” katanya kepada Bernama.

Menurut beliau keadaan cuaca buruk yang berlaku secara berkala di beberapa kawasan utama pengeluaran getah menjejaskan produktiviti komoditi itu walaupun kesannya setakat ini masih kecil.

Selain itu, Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menjangkakan bekalan bahan mentah yang terhad dapat menyokong harga getah minggu depan.

Sementara itu, seorang peniaga memaklumkan harga getah dijangka terus dipengaruhi oleh gangguan bekalan akibat faktor cuaca serta pemulihan bermusim dalam pengeluaran bahan mentah di negara-negara pengeluar utama.

“Sentimen pasaran turut dipengaruhi oleh pergerakan niaga hadapan getah serantau, kadar pertukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat, harga petunjuk pasaran minyak mentah serta perkembangan keadaan ekonomi dan perdagangan global,” katanya.

Mengikut perbandingan Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) susut 28.5 sen kepada 1,032.5 sen sekilogram manakala lateks pukal meningkat 21.5 sen kepada 790.5 sen sekilogram.- Bernama