Mohamed Salah dijangka kembali beraksi sebelum musim berakhir meskipun mengalami kecederaan otot ringan, sekali gus berpeluang mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong Liverpool di Anfield. Foto AFP
LONDON: Liverpool mengesahkan bahawa Mohamed Salah dijangka kembali beraksi sebelum musim ini berakhir, sekali gus melegakan kebimbangan kecederaan yang mungkin menjejaskan perpisahan bintang Mesir itu di Anfield.
Salah, yang akan meninggalkan juara Liga Perdana Inggeris itu selepas sembilan tahun pada penghujung musim, terpaksa dikeluarkan akibat disyaki mengalami kecederaan hamstring ketika Liverpool menewaskan Crystal Palace 3-1 Sabtu lalu.
Liverpool sebelum ini menunggu keputusan imbasan bagi menentukan tahap kecederaan penyerang berusia 33 tahun itu, dengan hanya berbaki empat perlawanan musim ini mencetuskan kebimbangan dia mungkin tidak sempat beraksi lagi.
Namun, kenyataan rasmi kelab menyebut: “Liverpool FC mengesahkan Mohamed Salah dijangka boleh kembali bermain sebelum penghujung musim ini.”
Menurut kelab, masalah yang menyebabkan Salah dikeluarkan kini disahkan hanya kecederaan otot ringan dan dia dijangka kembali sebelum kempen 2025/26 berakhir serta sebelum meninggalkan The Reds pada musim panas ini.
Sejak menyertai Liverpool dari Roma pada 2017, Salah sudah membuat lebih 400 penampilan dan meledak 257 gol, menjadikannya penjaring ketiga terbanyak sepanjang zaman kelab di belakang Ian Rush (346) dan Roger Hunt (285).
Salah turut memenangi empat Kasut Emas Liga Perdana serta menjadi tonggak utama ketika Liverpool menjulang kejuaraan liga musim 2019/20 dan 2024/25, selain membantu kelab menjuarai Liga Juara-Juara 2019.
Sepanjang karier gemilangnya di Anfield, dia juga memenangi Piala Dunia Kelab, Piala Super UEFA, Piala FA dan dua Piala Liga.
Bagaimanapun, masa depannya sebelum ini menjadi perhatian selepas hubungan tegang dengan pengurus Arne Slot pada Disember lalu susulan pertelingkahan terbuka apabila Salah mendakwa dia “dikorbankan” selepas direhatkan tiga perlawanan berturut-turut.
Liverpool kini berada di tangga keempat liga dengan empat aksi berbaki, bermula dengan pertembungan getir menentang musuh tradisi Manchester United di Old Trafford Ahad ini, sambil terus memburu tiket ke Liga Juara-Juara musim depan. – AFP