
DARO: Jambatan Batang Paloh di sini dijangka siap pada 3 Oktober 2026, sekali gus mengakhiri perkhidmatan feri.
Perkara ini dimaklumkan ketika lawatan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir. Aidel Lariwoo, ke tapak projek hari ini dan taklimat diberi oleh jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah.
Menurut kenyataan media JKR Sarawak, projek jambatan itu kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 90.49 peratus.
Aidel kemudiannya meneruskan lawatan ke tapak projek pembinaam jambatan baharu menggantikan jambatan besi (bailey bridge) di Kampung Penuai, Kampung Betanak, Kampung Salah Kecil dan Kampung Penipah, di Pulau Bruit.

Menurut kenyataan itu lagi, projek ini mencatatkan status pelaksanaan sebanyak 56.49 peratus dan dijangka siap pada 21 Mei 2027.
Pelaksanaan projek itu bakal memberi manfaat besar kepada penduduk setempat khususnya di Pulau Bruit dengan menyediakan akses perhubungan yang lebih selamat, cekap dan berdaya harap ke kampung-kampung sekitar.

“Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak melalui JKR Sarawak dalam memastikan setiap projek infrastruktur dilaksanakan mengikut jadual, berkualiti serta memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol yang juga ADUN Semop.