
KUCHING: Penduduk di Skim Penempatan Semula Stampin, khususnya di Lorong 2, berdepan masalah longkang tersumbat akibat pengumpulan tanah di persimpangan Jalan Stampin Baru dan Lorong 2.
Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Michael Kong Feng Nian, berkata keadaan longkang yang tersumbat dengan tanah dan serpihan itu menghalang aliran air sekali gus menyebabkan limpahan ke jalan raya ketika hujan lebat.
Beliau berkata, situasi tersebut telah mengakibatkan kejadian banjir kilat berulang di Lorong 2 dan menimbulkan kesulitan serta ketidakselesaan kepada penduduk setempat.
“Ini bukan isu baharu. Kami telah membangkitkan perkara ini kepada Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) beberapa kali, namun sehingga kini tiada tindakan berkesan diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Michael Kong berkata masalah banjir itu boleh dielakkan sekiranya kerja-kerja penyelenggaraan berkala dan pembersihan longkang dilakukan secara berterusan dan teratur.
Beliau menggesa MBKS supaya mengambil tindakan segera dengan menggerakkan sumber berkaitan bagi membersihkan timbunan tanah serta memulihkan sistem saliran di kawasan terjejas.
“Penyelenggaraan asas infrastruktur tidak boleh diabaikan. Sistem saliran yang berfungsi dengan baik amat penting bagi melindungi kesejahteraan penduduk serta mengelakkan kejadian banjir yang boleh dielakkan,” tegasnya.
Oleh Connie Chieng