
SIBU: Seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Sibu pada 21 April lepas atas pertuduhan menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Azari Miskon berkata pertuduhan terhadap lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dibacakan di hadapan Majistret Romario Jonoi.
“Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh dan mahkamah menetapkan 22 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan dua penjamin tempatan selain lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang memandu sebuah lori simen didakwa terlibat dalam kemalangan maut dengan sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat Tun Ahmad Zaidi Idrus di sini.
Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan komitmen berterusan dalam penguatkuasaan undang-undang jalan raya dan menyeru semua pengguna agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas bagi menjamin keselamatan bersama.
Oleh Tarani Lanting