
KUCHING: Kebakaran melibatkan sebuah rumah pekerja dalam pembinaan di Jalan Simpang Bakoh, Blok 5 Muara Tebas di sini berjaya dikawal awal sebelum ketibaan pasukan bomba, petang ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.36 petang.
Menurutnya, setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi pada 3.08 petang, didapati kebakaran melibatkan bahagian fiber bumbung sebuah rumah pekerja satu pintu jenis kekal setingkat yang masih dalam pembinaan dengan anggaran kemusnahan sekitar tiga peratus.

“Bagaimanapun, kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh pekerja syarikat menggunakan sembilan unit alat pemadam api jenis debu kering sebelum ketibaan pasukan bomba,” kata Pegawai Bomba Kanan I Hayati Abdullah dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba tidak menjalankan operasi pemadaman sebaliknya hanya membuat pemeriksaan dan pengesahan bagi memastikan kebakaran telah dipadamkan sepenuhnya serta keadaan adalah selamat.
Tambahnya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan operasi ditamatkan pada 3.25 petang selepas keadaan disahkan selamat.
Oleh Adele Rissa