PUTRAJAYA, 20 Oktober: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Parti Perikatan Nasional (PN), selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan parti itu gagal menyangkal asas pembatalan seperti yang dinyatakan dalam notis sebelum ini.
RoS dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan, selepas meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan PN pada 12 Oktober.
Menurut RoS alasan yang diberikan PN juga tidak memberikan justifikasi kukuh untuk mengekalkan pendaftaran parti berkenaan.
“Sehubungan dengan itu, Pendaftar Pertubuhan telah membuat keputusan untuk membatalkan pendaftaran PN di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966,” menurut kenyataan itu.
RoS memaklumkan pihaknya sebelum ini mengeluarkan notis bertarikh 22 Sept kepada PN di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966, untuk memberi peluang kepada parti berkenaan mengemukakan penjelasan dan representasi berhubung perkara yang dibangkitkan.
Susulan notis itu, PN mengemukakan maklum balas pada 12 Oktober, sebelum keputusan pembatalan pendaftaran dibuat.
RoS menegaskan setiap pertubuhan berdaftar bertanggungjawab memastikan pematuhan terhadap peruntukan Akta Pertubuhan 1966, serta perlembagaan pertubuhan masing-masing.
Jabatan itu turut memberi jaminan akan terus melaksanakan fungsi kawal selia dan penguatkuasaan secara tegas, adil serta berlandaskan undang-undang bagi memastikan tadbir urus pertubuhan yang teratur, telus dan berintegriti.
PN sebelum ini berdepan kemelut dalaman susulan aduan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada RoS, berkaitan kedudukan parti itu dalam gabungan berkenaan.
RoS sebelum ini mengesahkan menerima aduan rasmi Bersatu pada 11 Ogos, antaranya berkaitan dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai dan isu status keanggotaannya dalam gabungan tersebut.- Bernama




