Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Atlet akuatik Sarawak tampil bersemangat, fokus kekuatan mental
  • SUKAN

Atlet akuatik Sarawak tampil bersemangat, fokus kekuatan mental

Utusan Sarawak 7 hours ago
MICHAEL Chang ditemui Utusan Sarawak ketika sesi pengelasan atlet (divisioning) acara akuatik sempena Kejohanan Sukan Olimpik Khas Kebangsaan ke-6 di Kolam Renang Bintulu, hari ini.

BINTULU: Kontinjen akuatik Sarawak tampil dengan semangat tinggi dan keyakinan menjelang Kejohanan Sukan Olimpik Khas Kebangsaan ke-6 yang berlangsung di Kolam Renang Bintulu, di sini.

Ketua Jurulatih Akuatik Sarawak, Michael Chang berkata, persediaan atlet bukan sahaja tertumpu kepada aspek fizikal, malah memberi penekanan utama kepada kekuatan mental bagi menghadapi cabaran pertandingan.

Menurutnya, pendekatan tersebut penting memandangkan terdapat atlet yang memerlukan sokongan khusus, termasuk mengatasi ketakutan terhadap bunyi hon permulaan.

“Persediaan kami tidak seperti atlet biasa. Selain fizikal, aspek mental adalah paling utama. Contohnya, ada atlet yang takut dengan bunyi hon, jadi kita latih mereka untuk menghadapinya,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di Kolam Renang Awam Bintulu, di sini, hari ini.

SUASANA di Kolam Renang Bintulu yang menjadi venue acara akuatik bagi Kejohanan Sukan Olimpik Khas Kebangsaan ke-6 yang berlangsung dari 23 hingga 26 April.

Beliau berkata, prestasi awal yang ditunjukkan pada sesi pengelasan atlet hari ini amat memberangsangkan apabila beberapa atlet berjaya memperbaharui rekod peribadi masing-masing.

“Pasukan akuatik Sarawak sedia menempuh cabaran. Semasa sesi pengelasan pun mereka sudah menunjukkan prestasi yang baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Michael menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan atlet Sarawak yang dilihat sangat bersemangat dan teruja untuk memulakan saingan.

Katanya, sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk ibu bapa, ahli keluarga serta rakan-rakan menjadi pemangkin utama kepada motivasi atlet.

“Malah ada antara mereka mempunyai jurulatih peribadi yang turut hadir memberi sokongan, ini jelas memberi suntikan semangat kepada atlet,” katanya.

Mengulas mengenai sasaran pingat, beliau tidak meletakkan sebarang sasaran khusus namun optimis kontinjen akuatik Sarawak mampu menghadiahkan pingat emas.

“Fokus utama bukan kemenangan semata-mata, tetapi memberi peluang kepada atlet berkeperluan khas untuk menyerlahkan bakat dan bertanding. Apa yang pasti, mereka akan memberikan yang terbaik,” katanya.

Untuk rekod, Sarawak menghantar seramai 191 atlet bagi menyertai kejohanan yang mempertandingkan lapan acara iaitu badminton, bola keranjang, akuatik, olahraga, boccia, ping pong, boling serta bola sepak lima sebelah bersepadu.

Kejohanan berlangsung dari 23 hingga 26 April, dengan hari pertama dimulakan dengan sesi pengelasan atlet.

Oleh Shahrul Qaizat & Faizah Muzidi

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Peranan baharu cabaran buat Zii Jia di Horsens
Next: Memupuk semangat patriotisme dan kesetiaan kepada negara – Mohd Effendi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.