
LIMBANG: Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Abdul Rahman Ismail telah mempengerusikan Mesyuarat Berkenaan Projek Transormasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N79 Bukit Kota di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Limbang hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Limbang telah meminta laporan lengkap berhubung maklumat terkini mengenai kemajuan serta membincangkan peruntukan bagi projek di bawah RTP di kawasan DUN N79 Bukit Kota.
Ini termasuk projek yang sedang dilaksanakan dan projek baharu yang dibentangkan oleh agensi pelaksana terlibat iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) Limbang, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Limbang serta Majlis Daerah Limbang (MDL).

Hasil pembentangan menunjukkan bahawa hanya sebilangan kecil dikategorikan sebagai projek bermasalah manakala sebahagian besar projek telah siap atau berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.
Hadir sama Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Timbalan Residen Bahagian Limbang Marie Rozita Kulai, Penolong Kanan Pegawai Perancang Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Limbang Polycarp Pasha Peter, Jurutera Awam JPS Limbang Nor Annie Shazwanie Yahya, Penolong Jurutera MDL Boniface Lalang, Penolong Pegawai Seni Bina JKR Limbang Mohamad Shazral Abdul Rahim, Jurutera Perancangan dan Projek Sarawak Energy Berhad Mohammad Firdhaus Sulaiman, dan Setiausaha Eksekutif Pusat Khidmat Masyarakat DUN N79 Bukit Kota Roslan Abdul Rahman.
Oleh Adeng Edrus