KUCHING: Rakyat digalakkan untuk menceburi penanaman moden secara hidroponik dalam meningkatkan jumlah pengeluaran serta produktiviti tanaman.
Menurut suatu kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn, penanaman secara hidroponik diyakini mampu menghasilkan sayuran yang lebih baik serta berkualiti.
“Ketahanan sayur hidroponik juga lebih lama berbanding kaedah konvensional dan juga dipraktikkan jika tidak mempunyai tanah yang luas,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri bersedia untuk membantu dari segi pengumpulan, pengkelasan hasil dan pemasaran produk bukan sahaja di dalam negeri bahkan ke luar negara.
Kenyataan tersebut dikeluarkan semasa beliau berucap dalam Majlis Perasmian Penangguhan Program Jangkauan Pengembangan Komuniti Pertanian (AgriCOP) Siri 3/2020 DUN Kedup, semalam.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Martin Ben berkata, program yang dianjurkan tersebut telah memberi pendedahan tentang pendekatan menggunakan kaedah baharu dan teknologi pertanian moden bagi meningkatkan keselamatan, kualiti dan hasil dari produk yang diusahakan.
Oleh RYNNA SHA’ERRA MINDEW