KUCHING: Program Ziarah Kamek yang dilaksanakan sejak 2016 masih diteruskan bagi membantu golongan yang amat memerlukan bantuan.
Menerusi program tersebut, seramai 88 orang menerima bantuan dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan.
Sumbangan yang berbentuk makanan, kerusi roda, tongkat kaki, lampin pakai buang dan sebagainya telah disumbangkan oleh Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri, semalam.
Menurut Nancy, program tersebut telah dijenamakan semula pada tahun 2017 dan pelbagai penambahbaikan dilakukan dalam bentuk bantuan yang disalurkan.
“Antara penambahbaikan yang dilakukan ialah membaiki rumah penerima agar lebih selesa, bantuan perubatan untuk pesakit terlantar serta bantuan lain seperti lampin pakai buang dewasa, kerusi roda, tilam atau katil pesakit dan tongkat kaki,” ujar beliau ketika berucap semasa Program Penyerahan Sumbangan dan Ziarah Kamek Zon 1 dan Zon 2 DUN Simunjan Tahun 2020
Di samping itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris menyatakan bahawa program tersebut tidak dapat dilaksanakan secara rumah ke rumah berikutan dengan penularan wabak COVID-19.
Tambahnya, Program Ziarah Kamek merupakan suatu inisiatif wakil rakyat bagi menunjukkan keprihatinan terhadap penduduk di kawasan yang memerlukan bantuan bagi meringankan beban mereka.
Oleh RYNNA SHA’ERRA MINDEW