ENGKILILI: Mangsa kebakaran dari Rumah Naga dan Rumah Jackson Atit, Nanga Rasau di sini telah menerima bantuan bencana daripada Kerajaan Sarawak yang mencatat nilai keseluruhan sebanyak RM177,350.
Bantuan disalur menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu telah disampaikan oleh Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis yang mewakili Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga, Dato’ Sri Hajah Fatimah Abdullah.
Daripada jumlah tersebut, RM144,200 akan dibayar secara tunai kepada 18 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat dalam kejadian kebakaran di situ berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh JKMS.
Bagaimanapun, RM3,050 daripada jumlah itu pula adalah merupakan bantuan awal makanan yang disampaikan kepada mangsa ketika berlaku kejadian kebakaran di rumah panjang itu pada 16 September lepas.
Manakala RM30,100 lagi adalah merupakan bantuan catuan makanan untuk kesemua mangsa yang tinggal di pusat pemindahan berdekatan rumah panjang berkenaan selama dua minggu.
“Saya berharap agar kesemua keluarga mangsa kebakaran di Rumah Panjangt Nanga Rasau dapat membina kediaman baharu menerusi bantuan bencana yang disalur oleh Kerajaan Sarawak,” kata Harden.
Beliau ketika berucap ringkas pada majlis penyerahan bantuan itu di balai raya rumah panjang berkenaan juga menjelaskan bahawa bantuan itu dilulus oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebelum ia disalur kepada penerima.
Bagaimanapun, keprihatinan Kerajaan Sarawak pimpinan Ketua Menteri terhadap kebajikan rakyat kata Harden bukan terhenti begitu sahaja kerana masih terdapat banyak insentif lain yang boleh disalur selagi mereka memohon.
“Saya berharap agar rakyat kekal bersatu dan saling bekerjasama dalam menjaga keharmonian komuniti agar usaha mereka memohon untuk mendapatkan bantuan dapat menjadi lebih mudah dan lancar kelak,” kata beliau.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Daniel Bujal, Pegawai JKM Bahagian Sri Aman, Vivien Engkiong, Pegawai Tadbir Daerah Kecil Engkilili, Brin Munsang dan Penghulu Bong Nyuk Fah.
Oleh VALENTINE NGUMBANG