

BEKENU: Usaha membantu penduduk yang berdepan masalah bekalan air terus dipergiat apabila sebanyak lima lori tangki air telah dihantar ke Kampung Sinop Hilir, di sini hari ini.
Menurut salah seorang penduduk dikenali Azman Kamis berkata, bantuan air itu telah dihantar oleh pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) ke kampung yang tidak punyai saluran paip dan tidak hujan hampir sebulan.
Katanya, penghantaran tersebut melibatkan sejumlah 20 tangki air bagi memenuhi keperluan harian penduduk di sini.
“Bantuan ini tidak terhenti di situ apabila beberapa lagi lori tangki air dijangka tiba esok, dengan anggaran tambahan sebanyak lapan tangki air.


“Inisiatif ini dilihat sebagai langkah segera bagi meringankan beban penduduk sementara menunggu penyelesaian jangka panjang terhadap isu bekalan air di kawasan berkenaan,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, penduduk turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu yang turun padang membantu mengatasi masalah berkenaan.
Oleh Adum Liu