
SIMANGGANG: Dua rumah musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran yang berlaku di Kampung Hulu Lemanak awal pagi tadi, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 3.18 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman digerakkan ke lokasi kejadian.
Komander Operasi, Edwin Jonani, memaklumkan pasukan tiba di lokasi kira-kira enam minit kemudian dengan jarak perjalanan sejauh lima kilometer.
Kebakaran berjaya dikawal pada 3.45 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.49 pagi.
Menurut laporan, kebakaran melibatkan dua rumah dua tingkat jenis separuh kekal yang terbakar 100 peratus. Rumah pertama, didiami tiga lelaki, manakala rumah kedua dihuni sembilan individu terdiri daripada lima lelaki dan empat perempuan. Kedua-dua kediaman musnah sepenuhnya.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut, sekali gus mengelakkan tragedi lebih buruk.
Dalam pada itu, empat buah rumah berhampiran berjaya diselamatkan dengan hanya mengalami kerosakan kecil sekitar satu peratus.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan dua nozel serta dua aliran salur bantu mula bagi mengawal api daripada merebak ke kawasan berhampiran.
Seramai sembilan anggota terlibat dalam operasi tersebut dengan bantuan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Turut membantu di lokasi ialah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Hilir serta Sarawak Energy Berhad bagi memastikan keadaan selamat dan terkawal.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Oleh Adi Safarman