KUCHING: Kerajaan Sarawak berhasrat untuk membina lapangan terbang baharu yang lebih besar di pusat bandar ini sebagai persediaan perkembangan ekonomi pada masa hadapan.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ini adalah satu usaha kerajaan bagi menyelesaikan permasalahan kesesakan yang dihadapi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA).
“Saya fikir terlalu awal untuk mendedahkan apa yang kami ada pada ketika ini, tetapi yang pasti kita (Kerajaan Sarawak) merancang untuk lapangan terbang lebih besar bagi menampung peningkatan jumlah pesawat dan kedatangan pelawat pasca pandemik Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog Belanjawan Sarawak 2021: Ke Arah Masyarakat Berpendapatan Tinggi 2030 anjuran Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) melalui platform atas talian Webinar, semalam.
Menurut beliau, berdasarkan statistik pada ketika ini, KIA dijangka tidak lagi mampu untuk menerima jumlah pelawat dan pesawat menerusi lapangan ini dalam tempoh beberapa tahun yang akan datang.
“Oleh itu kita memerlukan lapangan terbang yang lebih besar bagi menampung keperluan ini, dan kita sedang merancang untuk ke arah itu,” jelasnya lagi.
Mengulas persoalan sama ada Kerajaan Sarawak mempunyai perancangan untuk membangunkan terminal penerbangan tambang rendah (LCCT) di Kuching, Abang Johari berkata cadangan itu pernah dibuat, namun belum ada kesimpulan yang tuntas mengenainya.
Dalam hal berkaitan, Abang Johari turut berkesempatan mengulas berkenaan penelitian semula terhadap hasrat Kerajaan Sarawak untuk mewujudkan syarikat penerbangan sendiri.
Beliau memaklumkan bahawa berkemungkinan syarikat penerbangan ini bukan berada di bawah Kerajaan Sarawak sepenuhnya, tetapi bersama dengan sektor swasta.
“Sektor ini adalah sektor swasta, jadi kita perlukan sokongan atau kerjasama daripada pihak swasta dalam usaha mewujudkan syarikat penerbangan kita sendiri ini.
“Saya sendiri yang cadangkannya itu dulu, namun saya tidak nafikan ia masih memerlukan penelitian lebih terperinci bagi mendapatkan pendekatan yang terbaik,” tegasnya lagi.
Sementara itu, menjawab soalan yang diajukan oleh Setiausaha Agung SBF, Jonathan Chai, Abang Johari bersetuju dengan cadangan untuk membawa pelawat daripada lokasi strategik luar negara melalui syarikat penerbangan negeri sendiri.
“Pelancong ataupun pelawat daripada lokasi stretegik seperti Hong Kong, Jepun, Australia boleh dibawa masuk ke Sarawak bagi merancakkan ekonomi di negeri ini.
“Dan alangkah lebih baik kalau kita gunakan syarikat penerbangan kita sendiri untuk terbangkan mereka ke sini,” ujarnya lagi.
Oleh AKMAL ADIB YUSUP