
BINTULU: Sambutan Aidilfitri melalui penganjuran Majlis Raya Serumpun Shell Malaysia Hari Raya Bintulu 2026 menjadi platform strategik dalam memperkukuh sinergi antara sektor industri dan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, pendekatan melalui program berteraskan komuniti seperti itu mampu meningkatkan kefahaman serta kerjasama antara kedua-dua pihak.
Beliau berkata, interaksi secara langsung dalam suasana tidak formal memberi ruang kepada perkongsian pandangan serta memperkukuh jaringan hubungan yang lebih kukuh.
“Platform seperti ini penting dalam menyatukan pelbagai pihak termasuk industri, rakan strategik dan masyarakat bagi memastikan pembangunan yang lebih inklusif.

“Ia juga membantu membina hubungan berasaskan kepercayaan serta saling memahami antara semua pihak terlibat,” katanya ketika menghadiri majlis tersebut di sebuah hotel di sini, hari ini
Menurut beliau, penglibatan aktif syarikat korporat dalam program kemasyarakatan turut menyokong usaha memperkasa pembangunan sosial selari dengan pertumbuhan ekonomi.
Dalam pada itu, beliau turut meluangkan masa beramah mesra dengan para tetamu bagi mendapatkan maklum balas berkaitan keperluan dan harapan masyarakat.
Katanya, hubungan erat antara industri dan komuniti akan menjadi pemangkin kepada kestabilan serta kemajuan berterusan di Bintulu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Shell Malaysia atas komitmen berterusan dalam menganjurkan program yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Majlis tersebut menghimpunkan warga kerja, rakan strategik serta komuniti dalam suasana Aidilfitri yang harmoni, diserikan dengan pelbagai juadah tradisional dan persembahan nyanyian.
Oleh Carolyne Utih