
BINTANGOR: Pengiktirafan terhadap kepimpinan masyarakat terus diperkasa apabila seramai 61 ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) menerima sijil pelanjutan semula dan tujuh lagi menerima pelantikan baharu di Daerah Meradong, hari ini.
Hadir bagi menyaksikan majlis penyampaian sijil pelanjutan dan pelantikan baharu KMKK bertempat di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Meradong ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing.
“Tahniah kepada semua KMKK yang menerima sijil pelanjutan semula dan pelantikan baharu.
“Pelantikan ini merupakan satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab, keikhlasan dan dedikasi,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Katanya, peranan KMKK amat penting sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan selain menjadi barisan hadapan dalam menyampaikan maklumat, memelihara keharmonian masyarakat dan membantu menyelesaikan pelbagai isu di peringkat akar umbi.


“Dalam menghadapi cabaran semasa yang semakin kompleks, masyarakat memerlukan pemimpin komuniti yang berwibawa, proaktif dan sentiasa peka terhadap keperluan rakyat setempat.
“Saya yakin semua KMKK yang dilantik dan disambung perkhidmatan mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik demi memastikan kestabilan sosial dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara,” katanya.
Koung Hiing juga menggesa agar perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Daerah Meradong terus diperkukuhkan supaya keharmonian yang dinikmati selama ini dapat dikekalkan untuk generasi akan datang.


Selain itu, beliau berharap semua KMKK akan terus bekerjasama erat dengan pihak kerajaan dan agensi berkaitan dalam memastikan pelaksanaan dasar dan inisiatif pembangunan dapat disampaikan secara berkesan kepada rakyat di peringkat komuniti.
Turut hadir, wakil Pegawai Daerah Meradong, Ting Kai Siang, Pemanca Yii Hee Sieng dan Pemanca Rapen Angga.
Oleh Earl Anek