Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Kerajaan pergiat usaha pastikan pegawai perubatan siswazah kekal berkhidmat – KPPA
  • NASIONAL

Kerajaan pergiat usaha pastikan pegawai perubatan siswazah kekal berkhidmat – KPPA

Utusan Sarawak 8 hours ago
KETUA Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz (tengah) merasmikan Pelancaran Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANi serta Sambutan Raya bersama penduduk Kampung Kota Bharu, Kampar di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Bharu hari ini. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim (Kanan). Foto BERNAMA

KAMPAR:  Kerajaan sedang mempergiat pelbagai langkah strategik bagi memastikan pegawai perubatan siswazah yang dilatih di negara ini terus kekal berkhidmat dalam sistem kesihatan awam negara susulan pengambilan terbaharu yang memenuhi hanya kira-kira 10 peratus daripada jumlah kekosongan nasional.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata situasi itu menunjukkan cabaran serius dalam memastikan kesinambungan tenaga kerja perubatan, khususnya dalam menghadapi peningkatan permintaan perkhidmatan kesihatan awam.

Beliau berkata kerajaan tidak memandang ringan perkembangan itu dan telah mengambil pelbagai pendekatan termasuk menambah baik persekitaran kerja dan kebajikan supaya mereka memilih untuk kekal dalam perkhidmatan.

“Kerajaan kini giat melaksanakan pelbagai penambahbaikan termasuk meningkatkan kemudahan kesihatan termasuk perkara lain yang membolehkan mereka kekal dalam perkhidmatan kesihatan.

“Dalam konteks doktor, umpamanya apabila mereka mengikuti pengajian perubatan, mereka terikat dengan keperluan untuk berkhidmat dengan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI serta Sambutan Raya bersama penduduk Kampung Kota Bharu di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Bharu di sini, hari ini.

Wan Ahmad Dahlan mengakui cabaran utama datang daripada tarikan peluang pekerjaan di luar negara yang menawarkan ganjaran lebih tinggi serta pakej kerjaya yang lebih kompetitif.

“Memang kita tidak boleh nafikan kerana tawaran di luar sana dari segi gaji dan kemudahan lebih menarik, namun yang lebih penting ialah semangat untuk berbakti kepada negara.

“Elemen nasionalisme dan tanggungjawab sosial perlu terus dipupuk kerana kalau kita mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi, keinginan untuk membantu rakyat dan negara, saya percaya isu ini boleh ditangani dengan lebih baik,” katanya.

Dalam masa sama, Wan Ahmad Dahlan berkata kerajaan turut mengiktiraf hak individu untuk membuat pilihan kerjaya, termasuk berhijrah ke luar negara.

Pada Februari lepas, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan pengambilan pegawai perubatan siswazah baharu hanya memenuhi kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan kekosongan di seluruh negara, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keupayaan sistem kesihatan untuk menampung keperluan semasa. – Bernama

Continue Reading

Previous: DPMM cadang Skim Pengembara diperluas kepada pekerja Malaysia di luar negara
Next: Ribut petir, hujan lebat di lima negeri hingga 6.00 petang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.