KUCHING: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Denis Leong bersama dengan beberapa pegawai polis melawat Korporal Mohd Asri bin Mohd, 32 tahun semalam.
Asri tercedera dalam satu serbuan polis ke atas sebuah rumah di sini yang dijadikan mini kasino baru-baru ini.
Dalam serbuan tersebut, Asri telah memanjat pagar rumah kembar dua tingkat berkenaan dan terjatuh yang telah mengakibatkan kecederaan di bahagian perutnya.
Walaupun tercedera, Asri bersama dengan anggota polis lain terus menyerbu rumah tersebut dan berjaya memberkas suspek-suspek yang terlibat dalam perjudian haram.
Selepas operasi serbuan ini, rakan sekerja Asri memanggil ambulan untuk membawa Asri ke hospital untuk rawatan selanjutnya.
Leong berkata, keberanian Asri menunjukkan dedikasi kepada tanggungjawabnya sebagai seorang anggota polis.
“Ia adalah sebahagian daripada risiko yang perlu dilalui oleh semua anggota polis.
“Sesetengah pihak mendakwa pihak polis tidak membuat apa-apa tetapi apa yang dialami oleh Asri menunjukkan bahawa kami sentiasa bertekad dan berdedikasi di dalam tugas kami,” kata Leong.
Beliau berkata, perjuangan ke atas perjudian haram bukan mudah dan is memerlukan kerjasama dari semua lapisan masyarakat.
Leong berkata, Sarawak mencatat jumlah serbuan dan tangkapan yang terbanyak di seluruh negara termasuk pemotongan bekalan elektrik ke atas premis perjudian.
Asri yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak berkata, dia akan terus menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang polis dan kecederaan yang dialaminya tidak akan mematahkan semangatnya.
Asri kini sedang dalam cuti sakit selama seminggu.
Oleh Connie Chieng