
MIRI: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta pencari kerja disaran untuk merebut peluang menghadiri Pameran Pendidikan dan Kerjaya Datuk Sebastian 2026 yang kembali dianjurkan dengan skala lebih besar tahun ini di Stadium Tertutup Miri.
Acara yang berlangsung selama tiga hari bermula esok hingga 12 April itu menyediakan platform sehenti kepada pengunjung untuk meneroka peluang pendidikan dan kerjaya yang ditawarkan oleh pelbagai institusi serta majikan.
Pameran kerjaya akan dibuka dari 9.00 pagi hingga 4.00 petang, manakala pameran pendidikan berlangsung dari 11.00 pagi hingga 5.00 petang sepanjang tempoh penganjuran.
Antara tarikan utama termasuk peluang untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), selain berpeluang berinteraksi secara langsung dengan wakil Yayasan Sarawak serta universiti milik kerajaan negeri.
Selain itu, lebih 30 institusi antarabangsa dari seluruh dunia turut mengambil bahagian termasuk universiti terkemuka dari Australia serta universiti dalam kumpulan Russell Group dari United Kingdom dan institusi dari Switzerland.
Dalam masa yang sama, kira-kira 20 majikan daripada pelbagai industri di seluruh Malaysia turut menawarkan peluang pekerjaan kepada pengunjung yang berminat untuk memulakan atau mengembangkan kerjaya mereka.
Orang ramai, khususnya lepasan SPM, digalakkan hadir lebih awal dan mengambil peluang ini untuk merancang masa depan pendidikan dan kerjaya mereka dengan lebih jelas.
Penganjuran program ini dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam membantu golongan belia membuat keputusan tepat berkaitan hala tuju masa depan mereka.
Oleh Adum Liu