Kemudahan di hospital dinaik taraf

Facebook
WhatsApp
MENAIK TARAF KEMUDAHAN DI HOSPITAL… Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika menjawab menjawab soalan tambahan ADUN Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Kelapan Belas di DUN Sarawak, semalam.

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah bercadang  untuk menaik taraf kemudahan di Hospital  Bau, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Kapit dan Limbang bagi menyediakan kemudahan untuk merawat pesakit Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, cadangan ini telah dikemukakan kepada Majlis Keselamatan  Negara (MKN) untuk pertimbangan Kerajaan Pusat.

“Selain Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu, Hospital Bintulu dan Hospital Miri, kerajaan negeri turut bercadang  adakah kerajaan bercadang untuk menaiktaraf kemudahan di Hospital  Bau, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Kapit dan Limbang supaya mempunyai kemudahan untuk merawat pesakit  pandemik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Kelapan Belas di DUN Sarawak, semalam.

Ditanya mengenai berapakah kapasiti makmal bagi menjalankan ujian rT-PCR untuk Covid-19 di Sarawak, Uggah memberitahu Makmal Molekular Perubatan untuk ujian rt-PCR ini telah dibina di Hospital  Umum Sarawak dan ia dikembangkan ke Hospital Sibu, Hospital Bintulu, Hospital Miri dan Pusat Jantung Sarawak.

“Kapasiti ujian dalam masa sehari di Hospital Umum Sarawak adalah 1, 000, Pusat Jantung Negeri Sarawak (500), Hospital Sibu (300), Hospital Bintulu (200) dan Hospital Miri (400),” tambahnya.

Dengan bantuan dana peruntukan oleh Kerajaan Negeri,  pembinaan sebuah Makmal Molekular Perubatan baharu di Hospital Limbang juga sedang diusahakan dengan kapasiti 200 ujian sehari.

“Bagi fasiliti perubatan swasta pula, Makmal Perubatan yang dapat menjalankan ujian Covid-19 yang telah diiktiraf oleh Kementerian  Kesihatan Malaysia ialah Makmal Perubatan, Borneo Medical Centre (BMC),” katanya lagi.