MIRI: Seramai 76 pekerja anak Sarawak menjadi mangsa anak kapal yang terkandas di Kapal Bigfoot 1 di Romania yang dikerah bekerja tanpa gaji lebih tiga bulan kini mulai pulang ke tanah air meniaki dua pesawat yang berasingan semalam.
Timbalan Presiden Persatuan Pekerja Minyak dan Gas Sarawak (SOGWA) Keroana Johny Weiss mengesahkan perkara terbabit ketika dihubungi mengenai kejadian itu semalam.
Katanya, rakyat Sarawak yang bekerja tanpa gaji turut mendapat ugutan daripada pihak syarikat kapal itu kerana mereka telah membuat aduan dan meminta perlindungan daripada kedutaan Malaysia di sana.
“Hampir semua pekerja tidak dibayar gaji seperti yang dijanjikan di dalam kontrak dan ada yang sudah dibayar namun hanya sehingga bulan September.
“Apabila mereka membuat bantahan pada 5 November dan meminta dibayar gaji, namun pihak pengurusan kapal berdalih dan enggan memberi kerjasama malah memaksa kami terus bekerja,” jelasnya.
Tambahnya, pada 7 November lepas mereka telah mendapat bantuan daripada kedutaan besar Malaysia, kesemua mereka berjaya keluar dari kapal dan ditempatkan di hotel di sana.
Pada 8 November lepas iaitu seramai 39 anak Sarawak telah meninggalkan Romania bertolak ke Malaysia dan tiba di Malaysia pada 9 November pada jam 2.55 petang menaiki pesawat Qatar Airlines.
Seramai 28 orang telah kuarantin di Kuala Lumpur sehingga 22 November dan akan balik Miri pada hari yang sama, katanya lagi.
Katanya, semalam (10 November) seramai lima anak Sarawak telah tiba di Kuching.
“Pada hari yang sama (semalam) terdapat dua kumpulan seramai 43 anak Sarawak akan tiba di KLIA dan kesemua mereka akan dikuarantin di Kuala Lumpur selama 14 hari.
“Kumpulan tersebut telah menaiki Qatar Airlines dan Turkish Airlines untuk pulang ke Malaysia,” katanya.
Pihak SOGWA membantu dalam urusan berinteraksi dengan pihak Kerajaan Sarawak untuk mendapatkan maklumat terkini tentang bantuan yang disalurkan kepada anak-anak Sarawak yang tertindas ini.
“Saya sendiri telah berhubung dengan pihak NADMA dan bertanyakan kos kuarantin dan ujian saringan sekirannya tiba di KLIA.
“Kita juga ada berinteraksi dengan pihak Rumah Sarawak iaitu Awang Supian Awang Daud (Pegawai Perhubungan Sarawak) mengenai ketibaan 43 anak Sarawak di KLIA pada hari ini (semalam) dan memastikan tiada yang tercicir kelak,” jelasnya lagi.
Justeru itu, pihak SOGWA sangat berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak terutama kepada Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, NADMA (diwakili Adeline Peter), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Senator Rita Insol yang terlibat bertanggungjawab membantu memberi maklumat tentang persediaan setibanya anak Sarawak di KLIA.
Oleh Adum Liu