ENGKILILI: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak pernah bertindak menghalau wakil rakyat termasuk para ahli komponennya, tegas Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis.
Sebaliknya, kumpulan bekas wakil rakyat dan para ahli komponen tersebut jelas beliau telah bertindak menubuh dan menyertai sebuah parti baharu yang sehingga kini tidak sehaluan dengan Kerajaan Sarawak pimpinan GPS.
“Apabila mereka tidak sehaluan dengan kita maka sekali gus dianggap sebagai pembangkang dengan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili ini misalnya dipimpin oleh salah seorang wakil rakyat parti baharu itu.
“Faktor ini menyebabkan berlaku kekurangan di kawasan ini. Antaranya ialah wakil rakyat mereka tiada peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berbanding wakil rakyat GPS sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sepakat@Komuniti 2020 anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Sri Aman yang berlangsung di Rumah Dau Salleh, Nanga Entalau, Ulu Skrang di sini pada Jumaat lepas.
Selain itu, Harden pada program itu juga mengingatkan rakyat di pedalaman agar tidak muda terpengaruh dan terpedaya dengan ideologi pihak parti berkenaan yang kini sedang berusaha melindungi kepentingan diri menerusi sokongan mereka.
“Bukan itu sahaja, pihak parti pembangkang berkenaan juga tidak mempunyai pelan induk untuk membangunkan negeri ini berbanding dengan GPS yang mempunyai perancangan tersusun dan boleh dilaksana menerusi pengurusan kewangan mantap bagi tujuan tersebut.
“Justeru, saya mengajak rakyat untuk menyokong GPS pada pilihan raya negeri nanti agar proses pembangunan DUN Engkilili dapat dilaksana sambil mengambil kira keperluan rakyat kawasan pedalaman yang majoritinya adalah kaum Iban,” kata Harden.
Beliau pada program itu mengumum peruntukan RM8,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Nanga Entalau dengan RM3,000 lagi diumum untuk biro wanita rumah panjang tersebut.
Harden juga turut mengumum peruntukan RM5,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Entalau di sini dengan RM3,000 diumum untuk setiap rumah panjang yang hadir pada program ini.
Beberapa agensi kerajaan turut mengambil bahagian dalam program ini antaranya, Pejabat Residen Sri Aman, Klinik Kesihatan Nanga Entalau, Pejabat Kebajikan Bahagian Sri Aman, Sarawak, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman, Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan JaPen Daerah Sri Aman.
Hadir sama Pegawai JaPen Sri Aman, Jessica Gilbert Bunsu, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman, Khalid Hamid, Pegawai Hidupan Liar SFC, Jonathan Wilson Nabi, Ketua Balai Polis Skrang, Sarjan Bayang Jaya, para wakil jabatan, wakil sekolah, Ketua Kaum dan para Ahli Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Oleh VALENTINE NGUMBANG