
MIRI: Taman rekreasi komuniti di Jalan Mawar, Piasau Jaya di sini bakal dinaik taraf dengan peruntukan RM200,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi menjadikannya lebih selamat dan mesra semua lapisan masyarakat.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, projek itu memberi tumpuan kepada naik taraf gelanggang bola keranjang serta penambahbaikan taman permainan kanak-kanak.
Menurutnya, sebanyak RM100,000 diperuntukkan bagi membaik pulih gelanggang bola keranjang termasuk pemasangan pagar, pembaikan permukaan serta struktur selain menjadikannya kemudahan sukan pelbagai guna.

“Gelanggang ini turut akan dilengkapi elemen pickleball supaya dapat digunakan oleh pelbagai peringkat umur,” katanya selepas meninjau tapak taman rekreasi tersebut hari ini.
Adam Yii berkata, baki RM100,000 lagi digunakan untuk menaik taraf taman permainan bersebelahan termasuk kerja meratakan tanah, pemasangan bangku konkrit serta penyediaan kemudahan baharu seperti jongkang-jongket dan buaian.
Katanya, projek berkenaan dijangka bermula tahun ini dengan matlamat menjadikan kawasan itu sebagai ruang komuniti pelbagai generasi untuk aktiviti riadah, sukan dan kekeluargaan.
“Pembangunan di kawasan Pujut memerlukan usaha berterusan dan saya komited untuk terus meningkatkan kemudahan infrastruktur demi kesejahteraan penduduk,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling