
PAKAN: Persatuan Hock Ching San Pakan-Wak disaran diaktifkan semula bagi memperkukuh perpaduan komuniti dan menyokong pembangunan setempat, kata Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien.
Katanya, setiap pertubuhan masyarakat perlu berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bagi memastikan perjalanan organisasi lebih teratur dan sah di sisi undang-undang.
“Persatuan Hock Ching San Pakan-Wak sebelum ini telah lama dibatalkan, mungkin kerana mereka yang terdahulu tidak pernah menghantar laporan kepada ROS.
“Penubuhan persatuan memainkan peranan penting dalam pembangunan komuniti, lebih-lebih lagi dengan mengambil contoh masyarakat dari China yang berjaya membangunkan institusi seperti sekolah dan rumah ibadat melalui kerjasama dalam pertubuhan.
“Di Pakan, persatuan seperti ini amat penting dan perlu dihidupkan semula demi manfaat bersama,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebooknya, hari ini.
Larry yang juga Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) berkata, sekurang-kurangnya seorang ahli jawatankuasa lama perlu dilibatkan dalam pembentukan jawatankuasa baharu selaras dengan garis panduan ROS.
“Selain itu, semua syarat dan garis panduan yang ditetapkan oleh ROS perlu dipatuhi sepenuhnya.
“Ia bertujuan bagi memastikan proses pendaftaran semula berjalan lancar,” katanya.
Beliau turut menyumbangkan sebanyak RM10,000 bagi membantu menggerakkan semula aktiviti persatuan, selain bantuan terdahulu yang pernah disalurkan sebelum ini.
Oleh Earl Anek