
SARATOK: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan semalam menyaksikan pencapaian membanggakan bagi institusi pendidikan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka dengan tiga sekolah menengah utama mencatatkan keputusan cemerlang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menzahirkan rasa syukur dan bangga atas kesungguhan para pelajar, guru dan ibu bapa sehingga membuahkan hasil yang sangat berkualiti bagi edisi peperiksaan kali ini.
Menurut beliau, SMK Agama Saratok menjadi antara sekolah yang menyerlah apabila merekodkan gred purata sekolah (GPS) 4.77, selain mengekalkan prestasi cemerlang dengan 100 peratus calonnya layak mendapat sijil.
Pencapaian individu di sekolah tersebut turut memberangsangkan apabila seorang pelajar berjaya memperoleh 10A, manakala masing-masing seorang pelajar mendapat 9A dan 8A, selain sembilan lagi pelajar memperoleh antara 5A hingga 7A.
”Tahniah juga diucapkan kepada SMK Bahasa Malaysia Saratok yang turut melakar sejarah tersendiri apabila dua pelajarnya berjaya memperoleh keputusan A penuh dalam semua mata pelajaran yang diduduki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohamad Duri, sekolah berkenaan juga menunjukkan kualiti akademik yang tinggi dengan seramai empat pelajar memperoleh 8A, lapan pelajar (7A), empat pelajar (6A) dan seramai 14 lagi berjaya mendapat 5A.
Sementara itu, prestasi membanggakan turut dicatatkan oleh SMK Kalaka Roban yang menyaksikan seorang pelajarnya berjaya menggapai keputusan 11A, manakala enam lagi memperoleh 5A dalam keputusan yang diumumkan semalam.
Mohamad Duri menyifatkan kejayaan ini sebagai manifestasi kepada komitmen warga pendidik di kawasan tersebut yang sentiasa berusaha memastikan anak bangsa tidak ketinggalan dalam bidang akademik meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Beliau turut menitipkan pesanan agar para pelajar yang berjaya tidak cepat berpuas hati, sebaliknya menjadikan pencapaian ini sebagai pemangkin semangat untuk terus menabur bakti apabila melangkah ke menara gading kelak.
Bagi pelajar yang belum mencapai keputusan yang diinginkan, beliau memberikan kata-kata semangat agar mereka tidak berputus asa kerana perjalanan masa depan masih luas dan kejayaan tetap menanti melalui usaha yang lebih gigih.
Mengulas mengenai hala tuju pendidikan, beliau menekankan bahawa kerajaan Sarawak kini menyediakan pelbagai kemudahan termasuk pendidikan percuma di lima universiti milik kerajaan negeri bagi meringankan beban anak-anak Sarawak.
”Selain pendidikan percuma, bantuan kewangan juga disediakan untuk mereka yang melanjutkan pengajian di Universiti Awam seluruh Malaysia.
“Gunakanlah peluang ini demi kecemerlangan masa depan diri, keluarga, negeri dan negara,” ujarnya lagi
Oleh Adi Safarman