SIBU: Cadangan pembinaan semula asrama Sekolah Menengah Citizen Middle School di Jalan Kong Yit Khim yang musnah dalam kebakaran, akan dikemukakan kepada Kerajaan Negeri.
Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee berkata, turut dicadangkan adalah untuk memohon bantuan khusus dari Kerajaan Negeri kepada sekolah tersebut.
“Saya telah memberitahu mereka bahawa saya akan mengemukakan cadangan ini kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, yang juga menteri yang menjaga pendidikan Cina di Sarawak dan juga cadangan kepada Kerajaan Negeri mengenai cara terbaik untuk memulihkan asrama secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Wong Ching Yong dan lembaga pengarah sekolah yang diketuai oleh pengerusinya Kapitan Fung Teck Shen di pusat khidmatnya, kelmarin.
Jelasnya, pihak lembaga sekolah telah menzahirkan harapan mereka untuk membina semula asrama berkenaan yang menampung 30 penghuni berbanding 17 orang sebelumnya.
Sementara itu, asrama berkenaan musnah dalam kebakaran sekitar 8 pagi pada 20 Oktober lalu.
Pengetua Sekolah Menengah Citizen Middle School, Ling Shean Leong turut hadir dalam pertemuan itu.
Oleh Nurzilla Mohamad