KANOWIT: Penduduk rumah panjang diseru agar mengekalkan semangat perpaduan dan kerjasama yang dipraktikkan oleh komuniti berkenaan sejak sekian lama demi kemajuan bersama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan Allan Siden Gramong berkata, semangat kerjasama ini amat penting bagi memajukan sesebuah rumah panjang.
Katanya, penduduk di rumah panjang dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan tuai rumah serta mengamalkan tahap disiplin yang tinggi.
“Apabila kita mempunyai semangat kerjasama baik dan memiliki semangat perpaduan tinggi maka kita dapat mencapai matlamat yang diimpikan pada masa depan.
“Selain itu, pelbagai perancangan dapat dilaksanakan apabila setiap penduduk rumah panjang sentisa bersatu,” katanya ketika merasmikan Majlis Mendirikan Rumah Panjang Minggu Midan Jalan Kanowit-Durin, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Allan turut menerima borang permohonan untuk kemasukan ahli-ahli baharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disampaikan oleh Tuai Rumah Bakar Insur dari Ulu Maong.
Sementara itu, lebih 250 orang di sekitar kawasan Maong hadir pada majlis tersebut.
Menurut Tuai Rumah Minggu Midan, rumah panjang baharu ini merupakan hasil perancangan mendiang tuai rumah terdahulu iaitu Kaunselor Jugah Rayang.
Katanya, perancangan ini dibuat ekoran rumah panjang yang mereka duduki sekarang sudah tidak mampu untuk menampung tambahan penduduk.
“Oleh itu, kita membina sebuah rumah panjang baharu 32 pintu ini untuk generasi baharu,” katanya.
Oleh Nurzilla Mohamad