
BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing telah menjalankan lawatan pemantauan tapak projek Transformasi Luar Bandar (RTP), baru-baru ini.
Lawatan kerja tersebut melibatkan beberapa projek di bawah seliaan Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memastikan pelaksanaan projek pembangunan berjalan lancar dan memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat.
Antara tapak projek yang dilawati adalah Gereja St James yang menerima peruntukan sebanyak RM80,000 bagi kerja menaik taraf prasarana bangunan serbaguna gereja.
Projek tersebut bertujuan menyediakan kemudahan lebih selesa dan selamat kepada komuniti setempat untuk menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
Selain itu, beliau turut melawat Rumah Peter di kawasan Mador Ili yang menerima peruntukan sebanyak RM50,000 bagi pembinaan sebuah dewan serbaguna rumah panjang.
Pembinaan dewan tersebut dijangka menjadi pusat aktiviti komuniti sekali gus mengeratkan hubungan sosial dalam kalangan penduduk setempat.
Lawatan seterusnya adalah di Rumah Murieng, Sungai Kotak yang melibatkan projek meratakan kawasan tempat letak kenderaan rumah panjang dengan kos sebanyak RM50,000.
Katanya, projek tersebut penting dalam meningkatkan kemudahan akses serta keselamatan penduduk terutama ketika keadaan cuaca tidak menentu.
“Projek-projek seperti ini bukan sahaja meningkatkan kemudahan fizikal, malah memainkan peranan penting dalam memperkukuh kesejahteraan dan perpaduan komuniti setempat.
“Kita komited memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan disiapkan dalam tempoh yang dirancang,” katanya ketika ditemui media.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan terus komited memastikan pembangunan luar bandar dilaksanakan secara seimbang dan inklusif supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Turut hadir ialah Jurutera MDMJ, Nur Hazirah Sadong; Pemanca Yii Hee Sieng; Tuai Rumah Peter dan Tuai Rumah Murieng.
Oleh Earl Anek