
BINTULU: Kreativiti penduduk dalam menghias kediaman sempena Aidilfitri terserlah menerusi penganjuran pertandingan lampu hiasan yang bukan sahaja mencantikkan kampung, malah menjadi medan kebersamaan komuniti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu.
ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, pertandingan melibatkan Kampung Assyakirin Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 serta Kampung Jabai itu menyaksikan pelbagai idea kreatif diterjemahkan melalui penggunaan lampu LED berwarna-warni dan dekorasi unik.
Menurutnya, penglibatan seluruh ahli keluarga dalam proses menghias rumah menjadikan aktiviti tersebut lebih bermakna dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Bila satu keluarga duduk bersama merancang dan menghias, ia bukan sahaja menceriakan rumah, tetapi menghidupkan semangat kebersamaan dalam komuniti,” katanya selepas melawat Kampung Assyakirin semalam.
Tambahnya, pendekatan itu turut membuka ruang interaksi antara jiran apabila penduduk saling berkunjung dan berkongsi idea hiasan masing-masing.

Katanya, pertandingan seumpama itu berpotensi dijadikan acara tahunan bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan serta mengekalkan tradisi menghias kampung.
Dalam pada itu, Johnny merakamkan penghargaan kepada pemimpin komuniti dan penduduk atas komitmen dalam menjayakan program tersebut.
Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Raya kepada seluruh umat Islam dan berharap sambutan itu diraikan dalam suasana penuh kegembiraan bersama keluarga tersayang.
Oleh Carolyne Utih