

BINTANGOR: Program Saberkas Prihatin Cawangan Saberkas Meradong menyantuni golongan asnaf menerusi agihan 30 bakul makanan sebagai tanda keprihatinan menjelang sambutan Aidilfitri di beberapa kampung Melayu sekitar Daerah Meradong.
Program tersebut telah dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong yang juga Pengerusi Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Cawangan Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, sebagai sokongan berterusan terhadap usaha membantu golongan yang memerlukan di peringkat akar umbi.
Katanya, inisiatif tersebut mencerminkan semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat, khususnya dalam memastikan golongan asnaf tidak terpinggir menjelang musim perayaan.
“Program ini mencerminkan semangat keprihatinan dan kebersamaan dalam masyarakat, khususnya dalam membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang.
“Justeru itu, program ini adalah manifestasi keprihatinan sebagai pemimpin terhadap golongan asnaf agar mereka tidak terpinggir, lebih-lebih lagi dalam menyambut perayaan yang penuh bermakna seperti sambutan perayaan Aidilfitri,” katanya ketika ditemui media, baru-baru ini.
Katanya, sumbangan ini diharap dapat membantu meringankan beban penerima selain membolehkan mereka membuat persiapan Aidilfitri dalam suasana lebih ceria bersama keluarga.
Program turut dijayakan dengan kerjasama ketua-ketua kampung yang memainkan peranan penting dalam mengenal pasti penerima yang layak serta memastikan proses agihan dilaksanakan secara teratur dan telus.
Koung Hiing juga merakamkan penghargaan kepada ahli Saberkas Cawangan Meradong, ketua kampung serta para sukarelawan yang terlibat secara langsung dalam menjayakan program kebajikan tersebut.
“Saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform memperkukuh semangat perpaduan dan nilai kemasyarakatan dalam kalangan penduduk setempat,” katanya.
Penduduk yang menerima sumbangan turut menyambut baik inisiatif tersebut dan menyifatkannya sebagai usaha murni yang mampu mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Saberkas Cawangan Meradong, Ley Chee Hua serta Pengerusi Unit Melayu Saberkas Cawangan Meradong merangkap Pengerusi Pengelola Program Saberkas Prihatin, Abang Husen.
Oleh Earl Anek