SIBU: Penghuni asrama Sekolah Menengah (SM) Citizen di sini, berdepan detik cemas apabila bangunan dua tingkat yang dihuni terbakar, semalam.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Janggan Muling ketika dihubungi semalam berkata, kebakaran melibatkan satu blok asrama dua tingkat jenis separuh kekal.
“Tingkat bawah merupakan dewan makan dan stor manakala tingkat atas adalah bilik asrama yang menempatkan 20 orang penghuni termasuk seorang guru bersama-sama dua orang anak, lapan pelajar lelaki dan sembilan pelajar perempuan.
“Dalam insiden terbabit, sebanyak 70 peratus dari keseluruhan blok bangunan musnah terbakar,” katanya.
Jelasnya lagi, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian sekitar 7.40 pagi sebelum 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral menaiki dua jentera dikerahkan ke lokasi kebakaran.
“Operasi mengawal dan memadam kebakaran menggunakan sumber air dari jentera dan kebakaran berjaya dikawal sekitar 8.15 pagi.
“Kerja-kerja ‘overhaul’ kemudian dijalankan untuk memastikan keadaan benar-benar terkawal dan kebakaran telah dipadamkan sepenuhnya 9.40 pagi,’ ujarnya.
Janggan memberitahu, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta nilai kerugian masih dalam siasatan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi pemberita mengesahkan kejadian tersebut.
Oleh Nurzilla Mohamad