SIMANGGANG: Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis komited untuk membudayakan amalan penjagaan kebersihan dalam kalangan penduduk di bandar ini.
Ia terbukti apabila beliau menyertai Program Gotong-Royong di penempatan penduduk Cina di kawasan Munggu Sabun pada Khamis lalu.
“Sejajar dengan hasrat menjadikan Bandar Simanggang sebagai Bandar Benak yang bersih dalam negeri ini, saya sebagai pemimpin harus rajin turun padang untuk menjayakan program kebersihan di sini.
“Ia menunjukkan kesungguhan kita mengajak penduduk untuk membudayakan amalan penjagaan kebersihan dan seterusnya menjadikan Bandar Simanggang sebagai destinasi kunjungan popular dalam negeri ini,” kata beliau.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang juga menekankan kepentingan menerapkan amalan tersebut demi mengekang penularan penyakit berbahaya di penempatan masing-masing.
“Nasihat seperti ini mungkin sudah lali di telinga penduduk.
“Namun, percayalah bahawa jika kita lalai dalam aspek kebersihan, mungkin penempatan kita tidak akan selamat daripada serangan wabak berbahaya seperti demam denggi, chikungunya dan banyak lagi.
“Justeru, mohon penduduk agar memandang serius perkara ini.
“Jika agensi kerajaan mahu menganjurkan kempen kebersihan di kawasan anda, beri kerjasama sebaik mungkin,” kata beliau.
Terdahulu, program yang diketuai Kapitan Ling Siew Hung itu melibatkan tiga agensi kerajaan di sini iaitu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Majlis Daerah Sri Aman (MDSA).
Tujuan penglibatan agensi berkenaan adalah untuk menerangkan pelbagai isu berkaitan bekalan air dan sistem perparitan yang dikemukakan oleh penduduk dari kawasan Munggu Sabun dan sekitarnya.
Turut hadir, Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd. Ashree Wee, Walikota MDSA, Anthony Abell Chendan dan Penolong Jurutera, Fedilis Ann Dizer,