SIBU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Manis di sini merupakan zon maritim pertama di Malaysia yang memperoleh pensijilan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Cemerlang.
Pengiktirafan tersebut adalah julung kalinya diberikan dari pihak Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).
Amalan EKSA yang diterajui oleh pihak MAMPU bertujuan bagi meningkatkan budaya kecemerlangan organisasi berimejkan korporat serta melahirkan idea dan aktiviti kreativiti serta inovasi.
Anugerah tersebut disampaikan Pengarah MAMPU Sarawak, Banges Munga kepada Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim, Mohd. Ariz Md. Kassim di Pejabat MAMPU, pada Khamis lalu.
Menurut Mohd Ariz, pihak Audit Pensijilan EKSA MAMPU Sarawak membuat pengauditan EKSA terhadap bangunan pejabat tiga tingkat Zon Maritim Tanjung Manis berkeluasan lebih kurang 1,095 meter persegi dan mempunyai seramai 44 pegawai dan anggota berlangsung pada 23 hingga 25 September lalu.
“Penerapan EKSA Zon Maritim Tanjung Manis bermula seawal 24 April 2019 dengan galakan Cawangan Inovasi dan Kualiti, Bahagian Khidmat Pengurusan Ibu Pejabat APMM serta dorongan pegawai peringkat atasan Maritim Negeri Sarawak.
“Ia bertujuan bagi penerapan objektif utama cawangan ini kepada peningkatan imej pejabat dalam memupuk semangat kerja berpasukan dan pembangunan inovasi, idea serta kreativiti bagi mengiktiraf usaha setiap individu atau kumpulan secara berterusan”, katanya.
Katanya, penerapan sepenuhnya penglibatan amalan EKSA oleh setiap warga pejabat ini amat menggalakkan selaras dengan panduan oleh pihak MAMPU.
“Syukur dan tahniah kepada setiap warga Zon Maritim Tanjung Manis serta penghargaan juga kepada peringkat atasan yang telah memberikan sokongan berterusan serta pihak-pihak yang terlibat sehingga perolehan keputusan pensijilan EKSA ini walaupun wabak Covid- 19 membataskan persediaan rapi dalam masa yang singkat”, ujarnya.
Oleh Nurzilla Mohamad