
KUCHING: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak akan memperluaskan rangkaian Bas.My Kuching kepada 13 laluan bermula 1 April 2026 dalam usaha berterusan menambah baik sistem pengangkutan awam di bandar ini.
Pengerusinya, Michael Kong Feng Nian berkata, langkah itu susulan pelancaran laluan pertama Bas.My Kuching pada 5 Mac 2025 yang menjadi pencapaian penting dalam meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam di Kuching.

“Sejak itu, kami telah memperluaskan rangkaian kepada 10 laluan, dan setakat 28 Februari 2026, perkhidmatan ini telah membawa seramai 691,693 penumpang,” katanya.
Beliau berkata, dalam tempoh tahun pertama operasi, seramai 14,402 pengguna telah mendaftar untuk kad konsesi yang membolehkan pemegang menikmati perjalanan bas percuma tanpa had.
Menurutnya, LPKP Sarawak turut memantau data operasi dan corak penggunaan penumpang bagi memahami keperluan serta tingkah laku perjalanan orang ramai.

“Hasil pemerhatian mendapati jumlah penumpang menurun dengan ketara selepas jam 7 malam, dengan banyak perjalanan bas beroperasi dengan sedikit atau tiada penumpang,” katanya.
Bagi mengoptimumkan sumber dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan, LPKP Sarawak akan mengurangkan kekerapan beberapa laluan serta menamatkan tiga laluan yang mencatat permintaan rendah atau bertindih, iaitu Q02 Matang Jaya, Q03 King Centre dan Q04 Bako.
Katanya, penjimatan daripada pelarasan ini akan membolehkan rangkaian diperluaskan lagi.
“Bermula 1 April 2026, kami akan memperkenalkan enam laluan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan laluan Bas.My Kuching kepada 13,” katanya.
Laluan baharu tersebut ialah Q11 Arang Road, Q12 Taman Hui Sing, Q13 Siburan, Q14 Samarahan, Q15 Stutong Baru/Kuching Sentral dan Q16 Taman Sukma.
Beliau menjelaskan bahawa peluasan ini akan meningkatkan sambungan ke destinasi utama dan kawasan komersial seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Kuching Sentral, Moyan, AEON Mall dan The Summer Mall.
Selain itu, laluan baharu turut meliputi kawasan perumahan seperti Kenyalang, Hui Sing, Skim Penempatan Semula Stampin, Arang Road, Samarindah dan Taman Sukma, sekali gus menyediakan alternatif pengangkutan yang lebih mudah kepada penduduk.
“Peluasan ini mencerminkan komitmen kami untuk terus menambah baik perkhidmatan Bas.My Kuching berdasarkan data penggunaan sebenar dan keperluan orang ramai.
“Dengan mengukuhkan rangkaian dan menghubungkan lebih banyak destinasi utama, kami berharap lebih ramai akan menggunakan perkhidmatan bas sebagai pilihan perjalanan yang boleh dipercayai dan berpatutan,” katanya.
Tambahnya, pengangkutan awam memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas, meningkatkan aksesibiliti serta menyokong pembangunan bandar yang mampan.
LPKP Sarawak akan terus memantau prestasi perkhidmatan dan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi mempertingkatkan lagi sistem pengangkutan awam di Kuching demi manfaat masyarakat.
Oleh Connie Chieng