MIRI : Projek pembinaan Surau Darul Ikhlas Kampung Senadin Jaya, Lutong bernilai RM600,000 di Senadin di sini, dijangka siap sepenuhnya pada November ini.
Menteri Pengangkutan yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin berkata kerja-kerja pembinaan dijalankan sejak 3 Mei tahun lalu kini telah 97 peratus siap.
“Apabila siap kelak, surau ini mampu menampung lebih ramai jemaah pada satu-satu masa.
“Ini disebabkan surau lama yang dibina pada tahun 1991 tidak dapat menampung jumlah penduduk di Kampung Senadin Jaya yang semakin bertambah dan lokalitinya tidak sesuai kerana ruang parkir yang sempit,” katanya selepas meninjau projek pembinaan surau tersebut, semalam.
Lee berkata, surau baharu itu dibina atas permohonan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ahli Jawatankuasa Surau Darul Ikhlas yang dipohon melalui Jabatan Agama Islam (JAIS) Miri dan dengan bantuan beliau, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM600,000 untuk tujuan pembinaan surau baharu itu.
Oleh Liong Chai Ling