
BINTULU: Bintulu Sustainability Award (BiSA) atau Anugerah Kelestarian Bintulu 2026 membuka penyertaan kepada enam kategori bagi mengiktiraf usaha pelbagai pihak dalam melaksanakan amalan kelestarian di Bahagian Bintulu.
Anugerah yang diperkenalkan oleh Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) itu melibatkan penyertaan daripada sektor perusahaan, industri perkhidmatan, institusi pendidikan, agensi kerajaan, komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu.
Pengurus Besar BDA, Datu Muhamad Yakup Kari berkata, penganjuran BiSA bertujuan menggalakkan lebih banyak organisasi dan individu melaksanakan inisiatif pembangunan mampan di kawasan tersebut.
Menurutnya, usaha itu penting memandangkan Bintulu kini muncul sebagai antara pusat pembangunan industri yang pesat di Sarawak.
“Seiring dengan pembangunan ini, kita juga perlu memastikan bahawa kemajuan yang dicapai adalah seimbang dengan pemeliharaan alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat.
“Sehubungan itu, BiSA diperkenal oleh BDA sebagai satu inisiatif untuk menggalakkan serta mengiktiraf usaha pelbagai pihak dalam melaksanakan amalan pembangunan mampan di Bahagian Bintulu,” katanya dalam sidang media sempena pra pelancaran BiSA 2026 di Wisma Bintulu di sini, hari ini.
Menurutnya, program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama beberapa rakan strategik termasuk Jabatan Alam Sekitar (DOE), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) serta Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu.
Tambahnya, kerjasama tersebut penting kerana agenda kelestarian memerlukan penglibatan menyeluruh daripada kerajaan, industri, institusi pendidikan, komuniti serta individu.
Beliau berkata, penganjuran BiSA juga selaras dengan aspirasi Pelan Strategik BDA 2024–2030 selain menyokong agenda pembangunan Bintulu sebagai Low Carbon Industrial Hub menjelang tahun 2030.
Menurutnya, penyertaan bagi kategori sekolah menengah ditutup pada 30 Jun manakala kategori lain pada 31 Julai.
Majlis kemuncak pengumuman pemenang BiSA 2026 dijadualkan berlangsung pada Oktober tahun ini.
Oleh Carolyne Utih