
SIBU: Inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang diperkenalkan kerajaan Sarawak membantu rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang berkata, isi rumah dengan pendapatan bulanan kurang daripada RM5,000 layak menerima bantuan sehingga RM950 setahun melalui program tersebut.
“Program SKAS merupakan satu inisiatif penting yang diperkenalkan oleh kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi membantu rakyat Sarawak menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan program SKAS bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Menurutnya, penerima yang layak akan menerima baucar digital yang boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas di premis yang mengambil bahagian.
“Baucar digital ini memudahkan rakyat mendapatkan barangan keperluan harian di samping membantu mereka mengurangkan beban kos sara hidup,” katanya.
Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata inisiatif itu amat penting bagi kawasan bandar seperti Pelawan yang mempunyai masyarakat pelbagai latar belakang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin masyarakat, agensi kerajaan serta pihak pengurusan premis terlibat atas kerjasama dalam menjayakan program tersebut serta membantu menyalurkan maklumat kepada orang ramai.
“Saya berharap sumbangan SKAS ini dapat memberi manfaat kepada para penerima khususnya di kawasan Pelawan, sekali gus mengukuhkan semangat perpaduan dan saling membantu dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Oleh Tarani Lanting