
MIRI: Pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan ketika memandu, khususnya sepanjang musim perayaan apabila jumlah kenderaan di jalan raya meningkat.
Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) menganjurkan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya 2026 di sini bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan pemanduan berhemah.
Kempen tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin yang menekankan kepentingan mematuhi peraturan lalu lintas dan mengamalkan sikap bertanggungjawab ketika memandu.
Menurut beliau, musim perayaan seperti Hari Raya sering menyaksikan peningkatan ketara jumlah trafik apabila orang ramai pulang ke kampung halaman serta menziarahi saudara-mara dan rakan-rakan.
“Walaupun Hari Raya merupakan masa untuk berkumpul dan bergembira, pengguna jalan raya mesti sentiasa berwaspada dan mengamalkan pemanduan bertanggungjawab bagi memastikan setiap perjalanan bermula dan berakhir dengan selamat,” katanya.

Menurut Kim Shin, statistik daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Polis Sarawak menunjukkan faktor manusia masih menjadi punca utama kemalangan jalan raya.
“Menurut data tersebut, kira-kira 85 peratus kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu, termasuk pelanggaran dari belakang, hilang kawalan kenderaan akibat memandu laju serta pelanggaran sisi ketika memasuki atau keluar simpang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan jauh.
Oleh Liong Chai ling